Jumaat, 29 Julai 2022

Bersarapan dengan gulai ikan temenung


JAM di tangan menunjukkan pukul 7.30 pagi, tanpa melengahkan masa Noor Amira Syuhada Mahammad Salleh, 28, memandu keretanya ke Jalan Batas Paip, Kuala Kedah, Kedah yang terletak kira-kira 18 kilometer dari rumahnya.

Tujuannya pada pagi itu hanya satu iaitu menikmati gulai ikan temenung atau kembung yang dijual di sebuah gerai makan tepi jalan iaitu Kedai Gulai Ikan Temenung Haji Jamil.

“Kebiasaannya, jika ada kelapangan dan terasa nak makan gulai ikan temenung saya akan datang ke sini.

“Tidak dapat dinafikan banyak kedai yang menyediakan hidangan sedemikian rupa di sekitar kawasan ini, tetapi saya lebih gemar makan di sini kerana rasanya sedap dan mempunyai keunikan tersendiri,” jelas ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Amira Syuhada berkata, dia kerap berkunjung ke gerai itu selepas dibawa oleh seorang rakannya lima tahun lalu.

“Kini, kedai ini menjadi pilihan saya seisi keluarga terutamanya ketika bersarapan atau makan tengah hari. Ini kerana, menu yang ditawarkan menepati cita rasa saya dan suami.

“Saya menyukai gulai ini kerana rasa rempahnya kuat dan ikan temenung yang digunakan segar-segar belaka.

“Di samping itu, menu-menu lain seperti ulam-ulaman dan sambal belacan menjadi pelengkap kepada hidangan kami,” jelasnya.

Tambahnya, harga yang ditawarkan juga amat berpatutan, maka tidak hairanlah ia selalu dipenuhi pelanggan dan kadangkala kami terpaksa menunggu untuk mendapatkan tempat.

Kedai Gulai Ikan Temenung Haji Jamil bukanlah sesuatu yang asing bagi kebanyakan penduduk terutamanya di sekitar Alor Setar.

Telah beroperasi lebih 30 tahun, kedai makan itu sering menjadi pilihan penduduk setempat dan luar untuk bersarapan dan makan tengah hari.

Lanjut operasi

Pengurus Kedai Gulai Ikan Temenung Haji Jamil, Nor Umirah Jamil, 31, berkata, seawal pukul 7.30 pagi kedainya mula dipenuhi oleh pelanggan untuk bersarapan.

Menurutnya, kebanyakan pelanggan memilih gulai ikan temenung dan nasi putih untuk bersarapan.
“Biasanya pelanggan ramai bersarapan dari pukul 7.30 hingga 9.30 pagi dan 11 pagi hingga 2 petang untuk menikmati makan tengah hari,” jelasnya.

Tambahnya, sejak mengambil alih perniagaan itu daripada ayahnya pada tahun 2015, dia membuat pembaharuan dengan melanjutkan operasi dari pukul 7 pagi hingga 3 petang.

Sebelum ini, kedai tersebut hanya dibuka sehingga pukul 12 tengah hari.


SEORANG pekerja menyiapkan gulai ikan temenung yang dipesan pelanggan.



Umirah berkata, rutin hariannya dan 13 pekerja lain bermula seawal pukul 5 pagi dengan menyediakan bahan-bahan untuk gulai ikan temenung dan menu-menu lain.

“Kami menggunakan tiga periuk besar untuk memasak gulai ikan temenung ini. Ibu saya, Azizah Bakar, 62, masih menyukat setiap bahan untuk menghasilkan menu ini. Ia dilakukan di rumah sebelum kami memasaknya di kedai.

“Keenakan gulai ini adalah kerana rasa rempahnya kuat, kuah pekat dan sedikit masam. Gulai ini juga dihidangkan secara panas dan ikan hanya dimasak bersama kuah apabila diminta oleh pelanggan,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Sejarah Politik dan Strategi Antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Ikan segar

Tambahnya, kaedah tersebut digunakan bagi memberikan kesegaran rasa ikan yang baru dimasak kepada pelanggan.

Untuk memberi pilihan, Umirah turut menawarkan beberapa menu lain seperti ulam-ulaman, kerabu dan juadah berasaskan makanan laut, ayam serta daging.

Kedai Gulai Ikan Temenung Haji Jamil bukan sahaja sering dikunjungi oleh penduduk setempat malahan pelancong-pelancong luar yang bercuti ke Pulau Langkawi memandangkan ia terletak berhampiran jeti feri Kuala Kedah.

Dalam pada itu, Umirah berkata, sehari dia menggunakan sekitar 70 kilogram (kg) hingga 80kg ikan temenung bagi menyediakan juadah tersebut.

Menjelang hujung minggu dan cuti umum, bekalan ikan temenung tersebut meningkat sehingga 100kg.

“Untuk menjaga rasa, kami menggunakan ikan segar dan saya sendiri akan pergi membeli dan memilihnya.

“Untuk juadah ini kami menggunakan ikan yang ditangkap di laut Pangkor. Rasa ikan temenung dari Pangkor ini lebih enak dan saiznya juga besar,” jelasnya yang merupakan anak sulung daripada empat beradik.
Azizah menunjukkan bahan yang digunakan untuk menghasilkan gulai ikan temenung.


Harga yang ditawarkan bergantung kepada saiz ikan iaitu sekitar RM2 hingga RM2.50 seekor.

Cabaran

Ketika diajukan soalan tentang cabaran yang dihadapi sepanjang menguruskan perniagaan itu, Umirah menyatakan kenaikan kos bahan mentah menjadi cabaran utama yang perlu dihadapinya.

“Harga ikan tidak menentu di pasaran adakalanya mahal dan kami tidak boleh menaikkan harga seseuka hati kerana tidak mahu pelanggan terasa terbeban.

“Itu sahaja cabaran yang perlu saya hadapi dan lain-lain biasa sahaja memandangkan sebelum ini saya selalu tolong ayah menguruskan perniagaan ini dan sudah tahu selok-belok menguruskannya,” jelasnya.

Dalam pada itu, ayah kepada Umirah, Jamil Man, 64, berkata, perniagaan itu kini diserahkan kepada Umirah untuk diuruskan bersama adik-adiknya.
Menurutnya, dia memulakan perniagaan itu sekitar tahun 1985.

“Pada mulanya, saya hanya membuka warung kecil menjual nasi berlauk dan beberapa juadah lain. Selain penduduk sekitar, ia juga untuk pekerja-pekerja kilang padi berhampiran kedai ini.
“Pada waktu itu, saya juga menjual gulai ikan temenung sebagai menu utama dan ia mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Memandangkan kebanyakan pelanggan pada waktu itu adalah pekerja-pekerja kilang padi jadi untuk sarapan mereka akan memilih juadah yang berat untuk memberikan tenaga. Lama-kelamaan ia menjadi ikutan penduduk sekitar sehinggalah kini,” katanya.

Tambahnya, dia bersyukur kerana kedainya bertambah besar dan dikunjungi oleh ramai pelanggan.

0 ulasan:

Catat Ulasan