Selasa, 24 Januari 2017

Restoren Gulai Ikan Temenung Haji Jamil : Umirah sambung perniagaan bapa


Jika berkunjung ke Kedah, tak sah jika tidak menikmati pelbagai makanan enak dan ada antaranya tidak terdapat di tempat lain dengan harga amat berpatutan.

Dengan jolokan syurga makanan, persinggahan di negeri jelapang padi ini juga tidak lengkap jika tidak merasai gulai ikan temenung (kembung) yang diibaratkan menu wajib bagi penduduk sekitar.

Namun jangan terkejut kerana hidangan berat seperti nasi berlauk sudah mula dijamah seawal jam 7 pagi di negeri ini, malah kedai gulai temenung antara destinasi popular untuk dikunjungi penduduk setempat terutama di sekitar Kuala Kedah.

Deretan restoran dan gerai menyajikan gulai ikan temenung di Kuala Kedah juga cukup banyak untuk dijadikan pilihan, terpulang pada selera masing-masing memilih gerai yang disukai.

Boleh dikatakan kini gulai ikan temenung seolah-olah lambang kemegahan Kuala Kedah yang sebelum ini terkenal dengan pengangkutan feri untuk ke Pulau Langkawi.

Setiap kedai makan dan restoran mempunyai keunikan rasa gulai yang tersendiri dan masing-masing mempertaruhkan resipi rahsia warisan asli yang diturunkan oleh ibu mahupun nenek mereka.

Gulai ikan temenung dibuat daripada bahan seperti rempah kari, bawang merah, bawang putih, halia, rempah ratus dan biasanya dicampur bendi, timun atau terung untuk menambah keenakannya.

Bagi seorang pemilik kedai makan yang menghidangkan gulai ikan temenung di Kuala Kedah, Nor
Umirah Jamil, 30, populariti menu itu menjadikan suasana gerainya begitu sibuk seawal jam 7 pagi bukan saja dalam kalangan penduduk setempat malah ramai pelanggannya juga datang dari Alor Setar dan Jitra untuk bersarapan di situ.

Gerainya di Batas Paip, tidak jauh dari pelantar ikan Kuala Kedah dan itu memberi satu kelebihan buatnya kerana bekalan ikan temenung segar tidak pernah putus.

Kedai Gulai Ikan Temenung Haji Jamil bukan nama asing bagi penduduk setempat, bahkan rata-rata rakyat Kedah tahu mengenai kewujudan kedai makan yang sudah berdiri megah sejak 32 tahun lalu itu.

Diasaskan oleh bapanya, Jamil Man, 64, operasi gerai itu kini sepenuhnya dikendalikan Umirah bersama suami, Mohamad Marzuki Ishak, 31, sejak dua tahun lalu selepas melihat kebolehan mereka menguruskan gerai itu tanpa sebarang masalah.

Namun katanya, bapa tidak sewenang-wenangnya menyerahkan gerai itu kepadanya, sebaliknya dia terlebih dulu perlu melakukan semua kerja seperti kakitangan lain.

“Selepas tamat belajar pada 2010, saya pulang ke kampung untuk membantu bapa menguruskan gerai ini. Pada mulanya saya hanya membantu sementara mendapat pekerjaan tetap, namun, sebagai anak sulung saya melihat legasi perniagaan keluarga ini perlu diteruskan oleh kami empat beradik.
“Kebetulan, tahun yang sama juga saya melangsungkan perkahwinan dan dikurniakan cahaya mata.

Ia menguatkan lagi alasan untuk melupakan hasrat bekerja dalam bidang yang saya pelajari di universiti.

“Selama empat tahun, saya fokus kepada membangun dan mengembangkan perniagaan kami. Pada 2014, barulah ayah menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab menguruskan gerai bersama suami,” katanya.

PEMBAHARUAN MEMBERANGSANGKAN

Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Sejarah Politik dan Strategi Antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini, sejak mengambil alih perniagaan itu, banyak pembaharuan yang dilakukan termasuk melanjutkan operasi gerai dari jam 7 pagi hingga 3 petang.

Ini kerana katanya, sebelum ini gerai itu dibuka hingga jam 12 tengahari saja, ramai memintanya melanjutkan operasi gerai itu dan ternyata perubahan itu menguntungkan dengan kehadiran pelanggan yang tidak putus.

Selain itu, dia turut menyediakan pakaian seragam untuk kakitangannya agar lebih sistematik selain penambahan menu hidangan.

Antara menu lain termasuk hidangan makanan laut lain seperti sotong bakar, ulam-ulaman, sambal belacan, pelbagai jenis kerabu, hidangan ayam dan daging dan banyak lagi.

Selain itu, kemanisan rasa ikan segar dan ditambah pula dengan rempah-ratus asli ternyata memenuhi cita rasa pelanggan yang tidak jemu mengunjungi gerainya.

Umirah berkata, resipi gulai ikan temenung diturunkan daripada ibu dan ayahnya, di mana semua rempah ratus dan cara memasaknya dikekalkan hingga sekarang.

“Keenakan gulai ini bergantung kepada kuahnya yang pekat dan sedikit rasa masam, namun paling penting perlu menggunakan ikan segar kerana jika tidak, rasanya akan ‘lari’ dan kurang enak.

“Selain itu, saya sendiri yang akan memilih ikan temenung. Ikan dipilih hanya dari Pangkor Laut yang ditangkap menggunakan pukat tangsi kerana ikan dari situ lebih enak, berlemak dan manis.

“Berbanding ikan temenung yang ditangkap menggunakan pukat tarik yang bercampur dengan hidupan laut lain, penggunaan pukat tangsi ini khusus menangkap ikan temenung saja,” katanya.
Ibu kepada dua cahaya mata ini berkata, selain menyediakan gulai panas yang dimakan bersama nasi, baru-baru ini dia turut menyediakan rempah segera gulai ikan temenung.

Nyata percubaannya itu menampakkan hasil kerana rempah yang dibuat segar itu habis dijual setiap hari.

Selain 14 kakitangan yang membantu Umirah, dua daripada tiga adiknya turut sama menjadi tulang belakangnya menguruskan gerai itu. Setiap hari gerainya sentiasa penuh dan biasanya mereka tidak menang tangan melayan pelanggan pada hujung minggu.

Bagaimanapun, katanya, kenaikan kos bahan mentah turut menjadi cabaran utama berbanding beberapa tahun lalu ketika harga ikan masih murah.

“Kita perlu ikut harga pasaran namun kenaikan harga di gerai ini sikit saja kerana tidak mahu penduduk sekitar rasa terbeban walaupun rata-rata orang luar masih merasakan harga yang kami tawarkan masih murah.

“Harga ikan bergantung kepada saiz iaitu bermula daripada RM1.70 hingga RM2.30 seekor,” katanya.

Umirah turut aktif di laman Facebook bagi mendekatkan diri dengan pelanggan, menyalurkan maklumat mengenai gerai itu dan berinteraksi bersama mereka

Artikel ini disiarkan dalam Harian Metro  Selasa, 24 January 2017

0 ulasan:

Catat Ulasan